TINGKATKAN JUALAN ANDA!

Saturday, July 31, 2010

Biar muka diconteng arang, kasih ibu tidak terhakis

Walaupun sudah diconteng arang ke muka, anak tetap disayangi. Merekalah racun merekalah penawar. Demi sayang... apa sahaja sanggup dilakukan termasuk memaafkan kesilapan yang mereka lakukan walaupun kesannya pedih menghiris. Asalkan... mereka yang bernama anak tetap bersama di sisi dan tidak mengambil tindakan menjauhkan diri. Segala perasaan sakit hati dan malu dicampakkan jauh demi sebuah makna yang bernama kasih sayang.

 sekadar gambar hiasan ; isman9.wordpress.com

Kadangkala apa yang terjadi adalah di luar kawalan kita sebagai ibu. Kita sudah sedaya upaya memberikan mereka yang terbaik. Kita sudah sedaya upaya melindungi mereka dari anasir yang tidak baik. Namun jika namanya ketentuan, kita tidak dapat lari daripada diuji. Apalagi dalam menunaikan tanggungjawab kita terhadap amanah yang telah Allah berikan. Redha dan bersabar... itulah langkah yang sebaiknya. Hikmahnya... tidak kita ketahui dan takkan datang suatu ujian itu tanpa kebaikan di sebaliknya.

Sebagai ibu juga... janganlah sesekali menyalahkan diri sendiri. Kesilapan yang anak lakukan mungkin menjadi pengajaran buat anak dan mematangkan mereka. Berdoalah kerana doa ibu yang paling makbul. Semoga anak-anak sebegini kembali ke pangkal jalan dan terbentuk menjadi anak soleh/ solehah.