Saya bertembung dengan seorang ibu yang meluru keluar dari bilik disiplin. Mengetahui kes apa yang berlaku bila melihat wajah anaknya di sebalik cermin kaca bilik PK HEM. Hancur hati seorang ibu. Pasti sebak mengenang sikap anak yang lahir dari rahimnya. Mana nak letak muka menanggung malu? Walaupun pihak sekolah memahami... anak-anak tidak lari dari melakukan kesilapan ketika proses pembesaran tapi hati dan maruah seorang ibu... sedikit sebanyak... pasti tercalar.
sekadar gambar hiasan: google
Kelihatan ayahnya berapi-api memarahi anaknya yang bersalah. Baru tahun 2 tapi... ditangkap kerana mencuri. Kadangkala... anak-anak ni tidak dapat memahami sejauh mana sikapnya menjadi kesalahan dan mendatangkan masalah kepada orang lain. Baginya... keinginan perlu dipenuhi. Mungkin dia menginginkan sesuatu yang tidak dapat ditunai oleh ibu dan ayahnya lantas dia mengambil jalan yang salah? Apa yang dikhuatiri... sikap demikian akan menjadi habit dalam dirinya.
Sebak di hati bila membayangkan rasa yang ditanggung oleh ibu tadi. Tak mampu saya berkongsi airmata bersamanya. Mungkin dia memerlukan masa untuk menyendiri. Semoga saya tidak diuji dengan kejadian yang sedemikian. Sehabis upaya kita mendidik dan memberi pengetahuan yang terbaik tapi ujian Allah perlu kita lalui dengan tabah. Jangan sesekali menyalahkan diri sendiri tetapi cuba mengambil ikhtibar dari setiap kejadian berlaku. Setiap kejadian itu tentu ada hikmahnya dan ganjaran yang diperolehi di sebalik keredhaan tidak kita ketahui.
Wallahualam~