TINGKATKAN JUALAN ANDA!

Wednesday, August 18, 2010

PengsaNnn

Pengsan... atau... tak sedarkan diri buat buat seketika. Bukan tak sedar diri atau jenis tak sedar diri. Itu penyakit lain. Tapi... yang ni pengsan akibat keletihan yang teramat. Bukan secara tiba-tiba tetapi akibat keletihan yang melampau. Tiada aksi terlampau di situ... hanya tidur ala-ala manja.

Bercerita tentang pengsan... teringat kenangan ketika berumur 12 tahun dahulu. Saya pengsan di muka pintu dapur beberapa minit sebelum waktu berbuka. Masa tu saya sibuk perhatikan sanak saudara bergotong royong membakar lemang. Maklumlah... esok nak raya. Orang panggil 'hari masak' kalau tak silap. Bukannya pengsan akibat berpuasa tapi ada cerita disebaliknya.

Tanpa sebarang pengangkutan seperti kereta atau kenderaan beroda empat yang lain... abah mengambil keputusan nekad membawa saya yang pengsan menaiki motor. Saya duduk dibelakang abah dan diikat pada badan abah supaya tidak jatuh. Maklumlah... waktu itu saya di Felda yang sememangnya kurang dengan kemudahan pengangkutan. Abah pula belum mampu untuk memiliki kereta sendiri pada masa itu. Begitu juga sanak saudara yang lain. Tiada pilihan.

Perjalanan untu keluar dari kawasan Felda ke kawasan pekan mengambil masa lebih kurang sejam. Selama tempoh itu saya masih tak sedarkan diri dan terikat pada badan abah. Saya dibawa ke klinik yang berhampiran. Doktor menasihatkan abah supaya menghantar saya ke Hospital Besar Ipoh. Perjalanan untuk ke Hospital Ipoh mengambil masa lebih kurang sejam juga. Rasanya... pada masa itu saya mula ditempatkan dalam ambulan.

Sampai di hospital... doktor tak mengambil keputusan yang lama untuk melakukan rawatan yang seterusnya terhadap saya. Saya terus dibawa ke dewan pembedahan. Rupa-rupanya... saya pengsan akibat penyakit apendiks yang kritikal. Mujur cepat dibawa ke hospital. Memandangkan saya berpuasa... tiada masalah untuk doktor  terus melakukan pembedahan. Abah terus sahaja menandatangani surat persetujuan dan saya pun dibedah.

 Penyakit apendiks tak akan berulang selepas ianya dibuang. Itu sebab orang dulu-dulu melarang kita menelan makanan tanpa dikunyah dengan baik terutama makanan yang sukar dihadam. Kesannya... dikhuatiri makanan tersebut terperangkap di bahagian apendiks dan membusuk.
gambar :mypotik.blogspot.com

Beraya di hospitallah saya pada masa tu. Yang seronoknya... saya memperolehi lebih banyak duit raya berbanding raya terdahulu. Memang dasar mata duitan betul. Saya yang sememangnya kuat makan merengek-rengek minta makan daripada emak walaupun doktor tak benarkan. Akibatnya... saya muntah dengan teruk dan dihalang untuk makan lagi. Elok-elok boleh sembuh cepat... tak pasal-pasal masuk air lagi.

Keluar dari hospital dengan tak sedar dirinya saya tibai semua kuih raya yang ada. Nak balas dendam katakan. Natijahnya... masuk hospital balik sebab kawasan pembedahan saya mula bernanah. Bila keluar hospital... saya serik untuk makan sehingga tak mau makan. Saya masuk hospital lagi sekali kerana gastrik pula. Berulang alik le ke hospital pada tahun tu sehingga saya pandai mengait hasil tunjuk ajar misi-misi di situ.

Syukur nyawa saya dapat diselamatkan. Apendiks jangan buat main. Saya kehilangan seorang saudara akibat apendiks yang telah pecah dalam perutnya. Bagaimana untuk mengesan penyakit apendiks? Sekiranya... kamu berasa sakit di bahagian kanan perut... kemungkinan ia adalah apendiks. Segeralah mendapatkan rawatan untuk mendapat hasil seterusnya.

soksek: Along sakit perut kat bahagian ari-ari. Saya lihat Along sampai mengesot untuk bangun. Ini menjadikan saya teringat peristiwa lama. Esok bawa Along ke klinik. Harapnya... Along tidak mengalami nasib yang sama seperti saya.