Gelisah rasa di hati bila mendapat kiriman mesej dari sahabat lama. Mesej yang mampu membuat saya tak tidur malam. Saya memang begitu.. bila perkara-perkara yang melibatkan hati dan perasaan... saya merasakan ianya begitu penting untuk ditangani. Apa lagi bila memikirkan bahawa adakah semua ini berpunca dari sikap saya sendiri? Memang saya akui... saya mengabaikan sahabat saya yang seorang ini. Merajuk... membawa hati kerana merasakan diri tidak diperlukan apabila dia sedang gembira tetapi sentiasa mencari bila dia sedang berduka. Natijahnya? Mungkin sahabat saya bertindak sedemikian kerana dia memang memerlukan seseorang untuk mendengar keluhan isi hatinya. Sayangnya... orang yang dicari saya kira bukan orang yang tepat.
Dia mencari kembali kekasih lamanya. Bingung saya memikirkan. Untuk apa? Masing-masing sudah ada cara hidup sendiri. Sudah ada keluarga dan anak-anak. Adakah sekadar untuk mengeratkan semula silaturrahim yang terpisah... atau mungkin mencari kembali kasih yang masih bersisa? Janganlah hendaknya dia meletakkan diri dalam kekalutan. Semoga dia tahu jika dia meneruskan apa yang ingin dilakukan.. kesannya lebih membawa keburukan daripada kebaikan. Jangan jadikan diri sebagai punca masalah. Banyak cara lain untuk kamu menyelesaikan masalah yang ada.
Kenapa kita harus mencari cinta lama? Kalau sama-sama single tidak mengapa. Andai ketetapan menyatakan kamu akan bersatu suatu hari nanti... biarlah dengan tidak melukakan hati sesiapa. Apa ertinya kenikmatan cinta yang dinikmati hasil daripada airmata dan penderitaan orang lain. Hidup pasti tidak tenang. Benarkah cinta pertama sukar untuk dilupakan walaupun perpisahan dahulu memeritkan?
sumber gambar: SINI