TINGKATKAN JUALAN ANDA!

Wednesday, May 26, 2010

Telok Gong - Dulu begini.. sekarang bagaimana?

Telok Gong... sebuah daerah yang pernah dijejaki dan bertahun ditinggalkan. Tak tahu bagaimana keadaan di sana sekarang. Dari maklumat yang didapati termasuk sumber-sumber dari internet.. tempat itu semakin maju. Alhamdulillah... Kalau dahulu...  perjalanan ke sana pun memberi seribu pertanyaan apabila pemandangan kiri dan kanan menyajikan bukit sampah sarap dan bau yang menyesakkan dada.

Saya tercampak untuk berkhidmat di SK Telok Gong, Pelabuhan Klang bila saya minta untuk bertukar ke Ipoh. Prosedur Kementerian Pelajaran Negeri Selangor masa itu ialah.. mana-mana guru yang minta bertukar akan ditukarkan tak kiralah dimana dia ditempatkan. Pergilah saya dengan perasaan 'Saya yang menurut perintah' tanpa ada sebarang bantahan. Pertama kali menjejakkan kaki.. ahhh.. rupa-rupanya susah untuk mencari rumah sewa di sini. Kebanyakkan guru-guru yang berkhidmat di sini ialah anak jati Telok Gong ataupun mengikut suami masing-masing.

Rumah sewa yang paling murah berharga RM80 (sekiranya layak dipanggil rumah) yang asalnya merupakan kandang khinzir yang diubahsuai menjadi rumah penginapan. Nak mandi pun berkongsi bilik air dan jiran sekeliling terdiri daripada pekerja asing yang berkhidmat dalam industri pembinaan. Takkan saya memilih untuk tinggal di situ? Akhirnya saya berjumpa dengan rumah sewa yang berharga RM300 sebulan. Sewalah juga untuk sementara waktu seorang. Oleh kerana desakan hidup.. akhirnya saya berpindah pula ke rumah sewa yang lebih murah harganya iaitu RM180 yang air dan elektriknya disalurkan dari rumah asal tuan empunya rumah sewa. Tinggalkan saya bertemankan ayam-ayam yang rajin menemani kerana dibawah rumah saya adalah tempat tinggal mereka.

 (gambar:google)

Orang kampung Telok Gong mengatakan kawasan mereka kawasan lanun. Janganlah keluar melebihi pukul 11 malam kerana pada masa ini lanun-lanun dari laut akan naik ke darat bersenjata parang. Entah betul atau tidak kerana saya tidak pernah bertembung. SK Telok Gong pula akan dikunci ketat selepas habis waktu persekolahan akibat kegiatan curi yang berleluasa. Makmal sains selalu menjadi mangsa kerana terdapat barang-barang yang berharga. Motor aquarium pun kena kebas.

Anak murid di sini juga bukanlah dari golongan orang berada. Jangan tak tahu... ada yang tak pernah merasa minum milo pun. Kalau hari hujan.. hanya 4 atau 5 orang sahaja yang akan hadir. Ada juga yang ponteng sekolah kerana menolong ayah melakukan kerja kontrak. Bayangkanlah... baru darjah 4 tapi body dah berketul-ketul macam orang dewasa. 

Saya adakan tuisyen untuk mengisi masa lapang. Upah yang saya perolehi pula adalah ikan segar yang telah siap disiang. Untung juga kerana saya tidak risau jika putus bekalan makanan. Selalunya... saya simpan dalam peti ais sekolah dan membawa sebahagian pulang untuk digoreng. Begitulah sehari-hari dan berulang tiap-tiap bulan. Tuisyen pun macam bukan tuisyen kerana murid-murid ini tak tahu tuisyen tu untuk apa. Ramai yang tak tahu membaca tapi bila bab nyanyi.. semua lagu deme hafal. Kalau hari sabtu.. penuhlah orang kat jeti sebab ada pertandingan karaoke. Ada yang mengajak saya join.. tapi saya tolak dengan lembut.

Saya berkhidmat di sini selama 4 bulan sahaja. Nazir turun pantau kehidupan saya di sini apabila saya mengadu masalah yang dihadapi. Semasa saya tinggalkan Telok Gong.. Telok Gong telah mula menjalani perubahan. Jalan-jalan telah mula diturap cantik. Ada pembinaan apartmen yang dijalankan yang saya sendiri risau melihatnya. Manakan tidak.. setiap kali tiang konkrit dipacak.. ia tenggelam begitu sahaja dalam kawasan pembinaan yang merupakan bekas aliran anak sungai.

Rindu rasanya nak jejakkan kaki ke Telok Gong semula. Masih wujudkah kedai kegemaran saya? Masih ramai lagikah yang memancing ikan pari di atas jambatan yang berhampiran? Bagaimanalah keadaan Telok Gong sekarang? Ada sesiapa yang pernah berkunjung ke sana?