Apa kategori yang menetapkan anak tak guna sebagai tak guna?
Bila nafsu amarah menguasai diri.. ayat ditutur tak bertapis lagi. Kenapa mudah menyumpah anak sendiri?
Selalu kita lihat yang tak berguna itulah yang selalunya berjasa pada suatu hari. Yang tak berguna itulah yang menjadi teman kala sepi. Yang tak berguna itulah yang merawat diri bila sakit nanti.
Namun.. berapa ramaikah ibubapa yang akan meminta maaf pada anak tak guna tersebut atas kehamburan kata sesuka rasa? Ego yang mengatasi segalanya.
Melihat seorang anak yang melayan ibunya dengan penuh kasih sayang mengenangkan saya pada sikapnya suatu ketika dulu. Dengan panas barannya. Parang mana yang tak dihunus bila diri dijentik? Kerja tak pernah tetap. Sama ada dia yang selalu tak tahan dengan majikan atau majikan yang tak tahan dengannya. Pendidikan? Sukahati dialah nak sekolah sampai tahap berapa.. siapa mampu tahan?
Masyarakat memang selalu memandangnya sebelah mata. Tiada apa yang hendak dibanggakan...
Bila kebanggaan diukur dengan material maka pelbagai cop yang diterima di dahi.
Bersengkang mata dia menjaga ibunya. Ada untungnya juga dia menjadi penganggur. Rambut ibu disisir rapi. Tubuh ibu dilap lembut. Jari-jari ibu dibelek. Pendek kata.. biar ibu sakit.. itu bukan halangan untuk menjadikan ibu seperti orang yang tidak terurus malah saya melihat ibunya lebih berseri dari dahulu.
Mungkin cahaya kebanggaan terpancar di wajah ibu bila melihat anak yang satu ini menatangnya bagai minyak yang penuh. Airmata ini juga ingin turut tumpah..
Semoga anak ini dilimpahi rahmat sepanjang hidupnya~