Mengajar anak untuk mengenal abjad, suku kata dan perkataan bukan hanya dipertanggungjawabkan kepada guru semata-mata. Sebagai ibubapa.. permulaan didikan dari rumah lebih bermakna apalagi diikuti dengan pengukuhan pembelajaran di sekolah.
Agak lewat juga saya mengajar Angah asas membaca berbanding Along. Mungkin lamanya kemanjaan bersama Angah dan penumpuan lebih terhadap Along membuat saya leka seketika. Memperkenalkan asas bacaan kepada Angah tidak semudah yang disangka. Ianya turut membuat saya buntu memikirkan masalah apa sebenar yang melanda Angah.
Menggunakan bantuan buku Bacalah Anakku saya mula memperkenal Angah dengan huruf-huruf tertentu. Satu perkara yang pelik saya temui pada diri Angah bila dia menyebut huruf u sebagai n dan n bila dikata u. Ianya seperti melihat kedua-dua huruf tersebut secara terbalik walaupun saya dan Angah mengadap buku tersebut secara berdepan.
Angah juga mengalami masalah sebutan di mana ni disebut sebagai nin dan nu disebutnya nun. Berkali-kali saya cuba memperbetulkan sebutan Angah dan akhirnya saya temui kaedah yang sesuai.
Bila Angah menyebut ni.. saya meminta Angah untuk senyum ketika menyebutnya dan bila Angah menyebut nun saya menyuruh Angah untuk memuncungkan mulutnya. Setelah beberapa kali percubaan.. akhirnya Angah dapat menyebut ni dan nu dengan jayanya.
Baru selesai satu masalah tapi tidak mustahil untuk masalah tersebut berulang keesokan harinya.
Penguasaan bacaan amat penting pada peringkat awal umur seorang kanak-kanak. Kegagalan anak untuk menguasai asas membaca adalah salah satu punca dalam keciciran pembelajaran anak-anak di sekolah seterusnya menimbulkan masalah lain seperti kurang minat untuk belajar.