TINGKATKAN JUALAN ANDA!

Friday, January 28, 2011

Peti sejuk - Selamatkah?

Adakah makanan yang diletakkan dalam peti sejuk selamat daripada serangan bakteria?

Jika jawapan anda 'YA', ternyata anda SILAP!

Peti sejuk merupakan tempat khas untuk menyimpan makanan bagi mengekalkan kesegarannya namun pengabaian dalam penjagaan yang sewajarnya akan memberi masalah kesihatan kepada anda sekeluarga. Amalan penyejukan yang kurang baik boleh menyebabkan makanan menjadi rosak dan menghasilkan bau, rasa dan tekstur yang tidak menyenangkan. Berikut adalah perkara-perkara yang harus dititikberatkan dalam memastikan peti sejuk anda menjalankan fungsinya dengan baik.

Simpan makanan pada suhu yang betul.
Pastikan peti sejuk anda berada pada suhu 4/5 darjah celcius untuk mencegah pertumbuhan kulat. Bakteria dan kulat membiak pada suhu 4/60 darjah celcius.

Jangan simpan terlalu penuh.
Peti sejuk yang penuh akan mengakibatkan peredaran udara dalam peti sejuk tidak dapat mengalir dengan sempurna lalu menaikkan suhu peti sejuk anda. Ini akan menyebabkan kulat dan bakteria mula membiak.

Pencemaran lintang
Pencemaran lintang membawa maksud pencemaran yang berlaku dari bekas/ makanan yang tercemar kepada bekas/makanan yang terpelihara. Sebagai contoh, membiarkan makanan yang telah berkulat berada dalam peti sejuk akan menyebabkan kulat tersebut merebak ke bekas/ makanan yang lain. Gunakan bekas yang bertutup seperti beg plastik atau erajang aluminium untuk mengelakkan hal ini terjadi. Keluarkan bekas/makanan yang telah tercemar dari peti sejuk anda.



Simpan dengan betul.
Peti sejuk anda mempunyai ruang yang ditetapkan untuk menempatkan makanan-makanan yang tertentu. Sila guna ruang yang disediakan. Letakkan makanan basah seperti ayam/daging di bahagian sejuk beku dan sayur-sayuran/ buah-buahan di ruang khasnya. Rak teratas adalah sesuai untuk menempatkan makanan seperti keju dan telur. Simpan makanan yang telah masak di bahagian tengah peti ais. Proses sejukbeku dan cairbeku yang berulangkali boleh menyebabkan pertumbuhan mikroorganisma. Habiskan jus buah-buahan anda dalam tempoh 6jam walaupun berada dalam peti sejuk.

Bersihkan dan nyahbekukan peti sejuk anda dengan kerap.
Ramai yang menganggap peti sejuk tidak perlu dibersihkan dengan kerap dengan alasan dikhuatiri meningkatkan penggunaan elektrik. Peti sejuk hendaklah dibersihkan dalam dan luar. Gunakan soda bikarbonat atau air suam untuk mengawal bau. Buang air yang bertakung dibahagian bawah atau belakang peti sejuk sekurang-kurangnya seminggu sekali. Jika peti sejuk anda rosak atau terputus bekalan elektrik, pastikan pintu peti sejuk sentiasa tertutup untuk memastikan peti sejuk anda kekal sejuk dalam tempoh 4 jam.