Memang memerlukan sebuah ketabahan dan saya pernah melihatkan ketabahan itu yang mengatasi kelukaan hatinya. Apalagi rumahtangga yang dibina bukan setakat setahun, lima tahun atau sepuluh tahun tapi telah mempunyai cucu pun.
Selama hidupnya pun dia pernah bermadu dalam terpaksa tapi jodoh dengan suaminya begitu kuat sekali berbanding madu-madunya. Sepanjang hidupnya.. apa yang tak dilakukan untuk suami. Menjadi isteri dalam ertikata sebaiknya. Menjaga segala keperluan malahan bila tak sanggup melayan kerenah suami yang tak pernah cukup satu dia mengamalkan amalan-amalan untuk mengikat suaminya. Tapi... kalau dah ketentuannya dipenuhi dengan dugaan... akhirnya dia akur.
gambar hiasan: google
Mengambil keputusan untuk meminang bagi pihak suaminya bukan suatu perkara yang mudah. Apalagi halangan daripada pelbagai pihak namun dia nekad. Janda beranak lima yang menjadi kegilaan suaminya dipinang dan diterima sebagai madunya dengan rela pada usia yang hampir senja. Tiap sesuatu yang ditetapkan dianggap ada hikmah sebaliknya.
Dan begitu juga ketentuannya. Dia hanya sempat bermadu tak sampai sebulan. Suami dan madunya bercerai setelah niat madunya diketahui. Madunya hanya berminat pada suaminya kerana menyangka suaminya mempunyai harta yang banyak sedangkan semua harta tersebut adalah kepunyaan dirinya. Ada untungnya juga bila suami menyerahkan harta sepencarian kepada isterinya sebagai syarat untuk dia beristeri seorang lagi. Kalau tidak... tak pasal-pasal harta yang dikumpulkan bersama jatuh ke tangan orang yang mencari kesenangan dengan cara yang mudah.
Bila kita menganggap sesuatu kejadian itu tidak adil dalam hidup kita rupa-rupanya ia menjadi titik permulaan untuk segala kesempurnaan. Memang susah memujuk hati yang luka tapi bila berbalik pada qada dan qadar pasti kita menemui keredhaan di sebaliknya...