Pakar perubatan memanggilnya Hernia. Tak seindah namanya (jangan sesekali dijadikan nama anak), hernia... angin pasang... uluran atau burut adalah adik beradik yang namanya sahaja berbeza. Bila bercerita tentang angin pasang dalam entri yang niii.. ramai juga yang tidak mengetahui dengan jelas tentang penyakit ini (termasuk saya). Memandang saya sendiri mempunyai dua orang anak lelaki... maka saya sendiri pun berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang penyakit ini dan hasilnya...
Pakar Pembedahan dan Endolaparoskopi, Hospital Pakar Putra (Batu Pahat), Johor, Dr. Chan Kin Yoong berkata, hernia merupakan satu lubang atau kelemahan otot pada bahagian badan hingga mengakibatkan kandungan dalaman badan menonjol keluar.
‘‘Kecacatan otot di badan boleh terjadi sejak kelahiran, dikenali sebagai hernia kongenital manakala jenis acquired melibatkan kerosakan otot badan disebabkan oleh kecederaan, pembedahan atau tekanan dalam badan berpunca daripada batuk berkali-kali, angkat berat, sembelit dan sukar membuang air kecil.
‘‘Bahagian badan menonjol keluar apabila seseorang itu mengemut atau berdiri. Kalau komplikasi terjadi, perut akan mengembung, sakit, muntah dan tidak boleh buang air besar,’’ ujar beliau.
Nama penyakit ini berasal dari bahasa Latin, herniae, yang bererti penonjolan isi suatu rongga melalui tisu nipis yang lemah pada dinding rongga itu.
Dinding rongga yang lemah itu membentuk suatu kantung dengan pintu berupa cincin. Gangguan ini sering terjadi di bahagian perut dengan isi yang keluar berupa bahagian dari usus,
Menurutnya, umum beranggapan bahawa hernia merupakan gangguan kesihatan yang hanya terjadi di kalangan individu yang telah lanjut usia. Padahal, ia juga boleh terjadi pada kanak-kanak dan lebih sering dialami kaum Adam berbanding Hawa.
‘‘Ini terjadi kerana adanya perbezaan proses perkembangan alat reproduksi lelaki dan wanita semasa janin.
‘‘Pada janin lelaki, testis (buah zakar) turun dari rongga perut menuju skrotum (kantung kemaluan) pada bulan ketujuh hingga kelapan usia kehamilan.
‘‘Lubang yang berupa saluran itu akan tertutup menjelang kelahiran atau sebelum anak mencapai usia setahun. Ketika dewasa, bahagian itu dapat menjadi titik lemah yang berpotensi mengalami hernia,’’ kata Dr. Chan.
Pesakit sering mengeluh adanya benjolan yang tidak menyakitkan namun cukup mengganggu, bergantung berapa besar penonjolannya. Penonjolan muncul kerana adanya kelemahan anatomi pada otot dinding perut, menyebabkan penonjolan di tempat yang lemah.
Keadaan menjadi lebih parah apabila ada dorongan akibat peningkatan tekanan di dalam rongga perut. Misalnya, akibat meneran ketika buang air, batuk, bersin atau mengangkat bebanan berat.
Pada bayi dan anak-anak, hernia merupakan keadaan bawaan sejak lahir (kongenital) dan berisi cairan dan tidak semestinya hernia inguinal yang berisi bahagian usus.
Mengulas lanjut, katanya, hernia pada kanak-kanak terjadi oleh kerana hubungan antara rongga perut dan kantung kemaluan, yang merupakan tempat testis bergerak turun dari rongga perut ke kantung kemaluan ketika bayi masih dalam kandungan.
Pada orang dewasa, hernia terjadi disebabkan dua faktor utama.
‘‘Pertama, adanya otot dinding rongga, misalnya perut yang lemah. Kedua, dorongan yang menyebabkan tekanan di dalam rongga perut meningkat. Biasanya hernia pada orang dewasa ini terjadi pada usia lanjut kerana pada umur tua otot dinding rongga perut melemah.
‘‘Seiring pertambahan usia, organ dan tisu tubuh mengalami proses kemerosotan. Pada wanita, kegemukan juga dapat memungkinkan timbulnya bahagian yang lemah.
‘‘Keadaan-keadaan tersebut, jika ditambah dengan faktor kedua tadi, dapat mengakibatkan usus terdorong ke dalam bahagian yang lemah tadi lalu menonjol ke luar,’’ jelasnya.
Kebiasaan merokok, penyakit yang mengenai tisu dan diabetes melitus juga dapat mempengaruhi timbulnya hernia. Ketiga-tiganya mempunyai kaitan dengan gangguan metabolisme pada tisu.
Dalam kes hernia ringan, bahagian usus yang keluar dapat masuk kembali ke rongga perut jika pesakit berbaring atau didorong sendiri oleh pesakit.
Berita buruknya apabila hernia sudah masuk ke tahap takterturunkan. Pada peringkat ini, isi hernia yang keluar tidak boleh masuk kembali meskipun ditolak dari luar.
Terang Dr. Chan: ‘‘Kita juga perlu waspada jika cincin hernia berdiameter kecil. Bila sudah ada usus yang keluar ditambah tekanan rongga perut yang meningkat, bahagian usus dapat keluar lebih banyak.
‘‘Jika berterusan begitu tanpa rawatan, ia boleh menjadi hernia inkarserat. Bahagian usus yang terjulur keluar tidak dapat kembali ke tempat asalnya.
“Atau menjadi hernia tercekik kerana usus yang terkeluar tadi dapat mengalami pembusukan dan mati akibat tidak mendapat bekalan darah (gangren).’’
sumber: http://intim.wordpress.com/2007/11/13/hernia-angin-pasang-usus-terjulur-keluar/
Mengikut pegawai perubatan.. tiada terapi lain yang sesuai untuk penyakit angin pasang selain pembedahan. Namun hasilnya tidaklah 100% pulih kerana penyakit angin pasang ini boleh berulang semula atas sebab-sebab yang tertentu. Petua-petua yang diamalkan seperti membalut kerandut dengan daun kecubung atau daun sireh mungkin hanya boleh diamalkan oleh mereka yang bergelar kanak-kanak.
sekadar gambar hiasan : google
Mengikut pantang larang orang dahulu... pengidap penyakit angin pasang dilarang mendekati golongan wanita. Anak-anak lelaki yang mengidap angin pasang tidak sesekali boleh dibelek oleh ibu, makcik, kakak hatta doktor perempuan sekalipun. Bagi lelaki dewasa pula... jangan sesekali bersentuhan dengan orang perempuan ketika penyakit ini menyerang kerana bakal mendatangkan kemudaratan yang lebih lagi.