TINGKATKAN JUALAN ANDA!

Monday, September 6, 2010

Tragedi berdarah menjelang syawal - Anak muridku menanti di pintu syurga

Bila menjelang syawal.. memori ini pasti berulang kembali. Ingatan kepada anak-anak kecil yang kembali ke Rahmatullah... gara-gara kemalangan yang tak terduga... turut mencabut nyawa mereka. Pengalaman yang sukar dilupakan. Bagaimana mata menyaksikan anak-anak ini mengelupur menahan kesakitan... dengan mata hitam yang tidak kelihatan dan tidak bernyawa di pangkuan. Sungguh menyayat hati.

Masa itu saya berada di Baling, Kedah dan berkhidmat di SK Bongor (dengar cerita sekolah ni dah tukar nama). Praktikum terakhir selama enam bulan. Syawal bakal berkunjung tidak lama lagi dan sudah pastinya ketika itu umat Islam sedang menghabiskan bulan ramadan yang semakin menghampiri penghujungnya. Sedang bersemangat mengajar anak murid tahun lima yang begitu dahagakan ilmu... tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi dentuman yang sangat kuat. Sangkaan... ianya hanyalah letupan dari sebutir mercun dari budak-budak nakal.. maklumlah raya tidak lama lagi. Rupa-rupa... peristiwa tragis yang menanti.

Bila diselidik... rupa-rupanya berlaku kemalangan di depan sekolah. Sebuah kereta yang memecut laju telah terbabas lalu melanggar peti surat yang ada di hadapan sekolah. Perlanggaran yang terlampau kuat menyebabkan peti surat tersebut melayang dan jatuh di atas atap perhentian bas dan menyebabkan perhentian bas tersebut runtuh lalu menghempap ke atas tubuh beberapa orang anak kecil yang tidak berdosa. Mereka adalah murid tahun 1 yang pulang setengah jam awal yang sedang menanti kehadiran ibubapa masing-masing. Darah mula membasahi baju uniform mereka yang putih bersih. Guru-guru dan orang kampung cuba mengambil langkah yang sepatutnya. Namun... yang ditetapkan telah ditetapkan... seorang demi seorang antara mereka mula menghembuskan nafas terakhir. Masakan tidak... dengan atap zink yang terpacak pada kepala masing-masing... luka parah manakah yang mampu ditahan oleh seorang anak kecil?

Pemandu ditahan tanpa apa-apa tindakan melulu dari orang kampung. Sememangnya bulan puasa banyak mengajar erti kesabaran. Kalau tidak... mahu setengah mati pemandu tersebut dikerjakan. Anak kecil yang menjadi mangsa dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulan. Suasana di hospital mula tegang. Ada ibubapa yang menangis teresak-esak dan ada yang mula pengsan. Sebagai guru pengiring... saya cuba menenangkan keadaan dan membantu mengurangkan kesedihan ibubapa tersebut. Memeluk mereka... dan mengenggam erat tangan mereka adalah jalan yang terbaik. Hanya seorang sahaja murid yang terselamat dari kejadian tersebut.

Kini... Baling telah bertahun saya tinggalkan tanpa menjengah muka tapi episod luka tetap terpahat di hati. Pasti peristiwa ini turut terpahat dalam ingatan ibubapa yang terlibat. Semoga mereka tetap tabah dan yakinlah... anakmu menunggu kehadiranmu di pintu syurga.

Baling, Kedah dalam kenangan
sumber gambar: members.virtualtourist.com/