TINGKATKAN JUALAN ANDA!

Sunday, August 1, 2010

Cerita Berilhamkan lagu - Alasanmu bukan alasanku




 


Kamu memang cantik sahabatku. Namun itu bukan alasan untuk aku mencemburui apa yang kamu miliki. Persahabatan yang terbina sejak di awal bangku persekolahan menjadikan hubungan kita bagai tiada rahsia. Susah senang kita bersama.  Dari mula mengenal ABC sehingga menara gading kita jejaki. Melihat keperitan hidup selama kamu membesar menjadi pengajaran buatku. Biarpun cara hidup kita berbeza, namun itu bukan halangan untuk aku menjadikanmu sebagai sahabat sejati. Walaupun kehidupanmu sering terpesong dan kecundang, tangan sentiasa ku hulurkan agar kamu tidak hanyut dan lemas. Biarpun hubungan persahabatan ini tidak direstui oleh orang tuaku, mereka ku tolak ke tepi demi namanya kasih dalam persahabatan ini.

Dalam mengharungi proses keremajaan dan kematangan, semakin hari aku merasakan ada yang tidak kena dalam persahabatan ini. Aku seperti tidak wujud di matamu apa lagi hatimu. Kehadiranku hanya bermakna bila kamu ingin membebaskan diri dari tersepit. Aku sering menjadi mangsa keadaan di atas segala kesilapan yang kamu lakukan. Masih teringat pandangan sinis ibubapamu terhadap ibubapaku. Aku yang dipersalahkan bila bapamu mengetahui kamu mula berjinak-jinak dengan asap yang berkepul-kepul dari sebatang rokok. Aku juga yang dipersalahkan bila kamu dikejar setengah gila oleh ayahmu bila kamu sudah mula pandai berfoya-foya dengan lelaki di luar sana.  Ibu ku hanya menangis bila melihat diri anaknya diperkotak katikkan. Bagaimanapun, airmata ibuku pada waktu itu tiada nilainya bagiku. Aku masih menganggap kamu berada dalam keadaan tersepit dan hanya ingin menyelamatkan diri. Demi namanya persahabatan, aku rela memikul setiap pandangan dan anggapan yang dilemparkan. Ku sakiti hati ibuku sekali lagi dan membelamu di hadapannya. Namun, sedikit sebanyak terdetik juga dalam hati bila ibu berkata, "Sahabat apakah namanya bila dia sedikitpun tidak membuka mulut mempertahankan diri kamu bila kamu di hina?"

Di saat aku mengukuhkan cita-cita, kamu pula cuba menyembunyikan diri. Menara gading kamu tinggalkan  bila malu tidak lagi tertanggung akibat perutmu yang semakin membusung. Katamu, kamu dianiaya bila lelaki durjana tersebut memasukkan pil khayal dalam minumanmu. Apa jua alasan yang kamu beri, pastinya aku takkan membiarkan kamu keseorangan melalui segala keperitan. Anak tidak sah taraf itu turut menjadi anakku yang belum bergelar isteri. Segala keperluannya aku penuhi mengalahkan anak sendiri.  Menanggung kehidupan sendiri pun masih terumbang-ambing tetapi anak kamu tetap ditatang bagai minyak yang penuh. Melihat anak itu membesar di depan mata memberi satu kepuasan yang tidak tergambarkan. Tiada ku peduli hartaku yang tergadai demi memenuhi keperluan kamu dan anakmu. Keputusanmu untuk menerima lamaran lelaki durjana yang sanggup bertanggungjawab itu, aku terima dengan hati yang terbuka. Aku seperti tiada hak dalam penentuan hidupmu. Kalau baik buatmu, maka baik juga buatku.

Sangkaku, perkahwinan kamu akan lebih mematangkan dirimu. Apalagi bila dua gelaran telah tertanggung di bahumu. Ditambah pula dengan kehadiran dua anak daripada benih bapa yang sama tetapi berbeza tarafnya. Kamu tetap kamu yang tidak mahu berubah dan tidak belajar dari pengalaman! Kenapa jalan penyesatan juga yang kau pilih dalam meneruskan kehidupan? Membalas dendam terhadap suamimu dengan membuat perhubungan sulit dengan lelaki lain? Segala nasihat yang ku beri umpama menyiram air di daun keladi dan dipatahkan dengan alasanmu yang kamu rasakan begitu kukuh dan jitu. Niatku sering disalah erti demi untuk kepentingan diri sendiri. Dimana letaknya naluri keibuanmu? Tidakkah kamu melihat wajah bersih anakmu yang dahagakan kasih sayangmu? Kenapa kau penuhi diri dengan dendam kebencian berbanding kasih sayang? Sesungguhnya aku kecundang dalam memahami apa yang kamu inginkan. Kamu bukan lagi sahabat yang dapat ku genggam tangannya. 

Cukuplah apa yang aku lalui. Aku juga ada kehidupan yang harus ku teruskan. Hancurnya hati seorang sahabat tidak dapat dipulihkan lagi. Adakah aku yang salah dalam memilih sahabat atau gagal menjadi sahabat yang terbaik untukmu? Tidak sanggup lagi aku untuk terus menanggung setiap dosa yang kamu lakukan. Apa ertinya jika tiada kebahagian yang diperolehi bila persahabatan ini tetap diteruskan? Aku telah mencuba yang terbaik dan memberi yang terbaik tapi jika kesumat yang menjadi pilihan apa daya yang ku harapkan? Semoga pengunduran ini memberi ketenangan buat kita berdua. Janganlah lagi kamu mencari diriku sekalipun bahagia telah kamu temui. Kesejahteraanmu ku pohon dari jauh. Tidak sanggup aku menempuhi perjalanan ini bersama walaupun untuk sekali  lagi. Kita berdua sudah cukup dewasa untuk mengetahui mana yang terbaik untuk diri sendiri. 

Alasanmu

Ikhlasnya hati seringkali di salah erti
Tulusnya budi tidak pernah engkau hargai
Berlalu pergi dengan kelukaan ini
Ku mengalah 
Ku bersabar

Bertentang mata seolah-olah tiada apa
Berpaling muka ada saja yang tidak kena
Mencari sebab serta alasan yang kukuh
Supaya tercapai hajatmu

Manis di bibir
Memutar kata
Malah kau tuduh akulah segala penyebabnya
Siapa terlena pastinya terpukau pujukmu, rayumu, suaramu yang menagih simpati dan harapan
Engkau pastinya tersenyum dengan pengunduran diriku
Tetapi bagiku pula suatu ketenangan
Andainya kita terus bersama
Belum tentu kita bahagia
Selagi tidak kau ubah 
Cara hidupmu

Ada rahmatnya bila tidak lagi bersama
Terasa jauh diriku ini dengan dosa
Ku tinggalkanmu walau tanpa kerelaan
Yang nyata kau tidak berubah
*muzik*
Bertentang mata seolah-olah tiada apa
Berpaling muka ada saja yang tidak kena
Mencari sebab serta alasan yang kukuh
Supaya tercapai hajatmu

Manis di bibir
Memutar kata
Malah kau tuduh akulah segala penyebabnya
Siapa terlena pastinya terpukau pujukmu, rayumu, suaramu yang menagih simpati dan harapan
Engkau pastinya tersenyum dengan pengunduran diriku
Tetapi bagiku pula suatu ketenangan
Andainya kita terus bersama
Belum tentu kita bahagia
Selagi tidak kau ubah 
Cara hidupmu

Katalah apa kau ingin
Selagi kau dapat berjabat
Memang begitu sikapmu sejak dahulu
Andainya kita terus bersama
belum tentu kita bahagia
Selagi tidak kau ubah 
Cara hidupmu
~Exist~

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Cerpen ini dihasilkan untuk menyertai: