TINGKATKAN JUALAN ANDA!

Sunday, May 16, 2010

Terima kasih cikgu - Pengalaman denganmu.. menjadi panduanku

Andai diri dibenarkan untuk mengulangi zaman persekolahan... saya tidak akan melakukannya. Zaman persekolahan saya bukanlah sesuatu yang mengembirakan. Zaman persekolahan saya memberi rasa kecewa pada pembentukan diri. Kalau diri tidak cekal.. dan putus asa.. tentu sahaja saya tidak seperti ini. Bukan menyentuh soal pelajaran kerana saya cemerlang dari segi itu. Namun ada beberapa kepahitan yang saya tinggalkan akibat manusia yang memang tidak lari daripada melakukan kesilapan.

Namun saya mensyukuri pengalaman yang saya perolehi. Hikmahnya di mana Allah memilih saya pula untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang guru. Saya belajar daripada pengalaman saya sebagai seorang pelajar. Saya belajar untuk tidak menjadikan anak-anak didik saya menempuh pengalaman seperti saya suatu ketika dulu. Saya belajar yang setiap anak murid perlu dilayan samarata tanpa perasaan pilih kasih dan saya belajar untuk tidak menetapkan dendam kesumat sebagai balasan menghancurkan masa depan anak murid itu.

14 tahun berkecimpung dalam dunia pendidikan... saya sedar perjalanan saya masih jauh. Saya sentiasa berdoa supaya saya tetap cekal. Walau pernah jatuh tersungkur... saya bangun dengan kekuatan yang baru. Saya cemerlang untuk anak murid saya tapi saya jarang memberikan yang terbaik untuk tugas-tugas yang lainnya. Anak murid saya adalah keutamaan saya. Kalau kerana mereka saya dikatakan guru yang tidak sempurna.. saya rela.