Berita sedih yang diterima pada hari sabtu lepas. Seorang rakan sejawat yang bertugas berlainan sekolah telah pergi menyahut panggilanNYA. Dari berita yang didengari guru berkenaan meninggal akibat tertekan dengan bebanan kerja yang melampau. Guru yang berusia dalah lingkungan 20an itu dikatakan tidak mampu lagi untuk memikul beban kerjanya yang semakin bertambah dari hari ke hari. Tidak diketahuilah pula jika guru berkenaan menghidap sebarang penyakit kronik seperti sakit jantung atau sebarang penyakit yang menyumbang kepada faktor kematian. Salam takziah buat keluarga mangsa.
Kisah ini mengingatkan saya kepada arwah sahabat saya yang meninggal atas sebab yang sama. Yang membezakannya ialah arwah sahabat saya ini memang menghidapi penyakit asma yang kronik. Penyakit asma arwah memang di peringkat yang kronik sehingga arwah boleh semput jika ada seseorang menyergahnya dengan tiba-tiba. Arwah dikatakan berada dalam situasi yang tidak tenang bila mengetahui pihak Nazir ingin memantau pengajaran arwah di dalam kelas. Perasaan gementarnya terbawa-bawa hingga ke rumah dan arwah telah menghembuskan nafas terakhirnya ketika sedang tidur selepas sembahyang zohor. Arwah juga masih muda ketika itu dan telah meninggalkan seorang balu dan anak yang baru berusia 1 setengah tahun pada ketika itu.
Apa pun alasannya, yang pasti kematian itu adalah suatu yang pasti. Perkara yang berlaku mungkin hanya penyebab kepada kematian kedua-dua guru tersebut. Kes ini sudah cukup menjelaskan bahawa tugas seorang guru memang berat sebenarnya. Walaupun ada pihak-pihak yang menidakkan dengan memberi beberapa alasan yang menyakitkan tetapi berat lagi 'bahu yang memikul'. Tugas kami sebagai guru mungkin tidak berat dari segi fizikal tetapi memberikan tekanan yang hebat dari segi mental. Keikhlasan kami dalam menjalankan tanggungjawab kamilah yang mengurangkan bebanan yang kami tangungi.
gambar hiasan
(google)