TINGKATKAN JUALAN ANDA!

Wednesday, April 14, 2010

Dah tobek muka murid perempuan tuuu..

Semalam dan kelmarin murid perempuan itu tidak hadir sekolah. Semasa waktu akhir sesi persekolahan tahap 1 saya bertembung dengannya. Laaa... dah berparut pipi kanannya. Saya memegang dan bertanya kenapa? Dia malu-malu untuk menceritakan. Membawa murid tersebut ke tepi untuk mengetahui apa sebenar yang berlaku. Kena pujuk juga... baru dia nak cerita.

kesan lukanya panjang dan betul-betul di atas tulang pipi
(gambar hiasan - google)

Ayah rotan katanya. Ayah rotan? Kamu buat salah apa? Saya tak belajar elok-elok cikgu..  jadi ayah saya mengamuk. Ooo... lepas ni nak belajar elok-elok ke atau nak main-main lagi... tanya saya. Belajar elok-elok. Jaga luka tu.. bersihkan.. jangan bagi kotor kerana saya melihat luka tersebut sudah mula bernanah.

Sebak sebenarnya saya mendengar penjelasan yang diberi. Kesian anak itu. Dia bukanlah seorang budak yang sedia pintar ataupun sederhana fikirannya. Dia murid pemulihan. Murid pemulihan ni ialah murid yang masih tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Rasa macam tak patut pula jika dia dipukul kerana itu. Kalau nak pukul pun bahagian lainlah. Ini muka. Mesti berbekas nanti. Orangnya cantik. Dengan bulu mata lentik yang kembang, hidung mancung dan wajah yang runcing tirus. Kesian.. kini parut itu akan kekal pada wajahnya selama-lamanya.

Kadangkala ibubapa ni tak tahu pun yang anak mereka adalah murid pemulihan. Bagi saya istilah pemulihan tidak wujud sekiranya ibubapa sentiasa memastikan anak-anaknya dapat menguasai kemahiran 3M itu dari awal lagi. Kalaulah bapa murid itu tidak pernah mengajar anaknya ,memang tak patut untuk dia memukul anak itu. 

Dengar cerita keluarga mereka orang susah. Terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mencari sesuap rezeki. Maknya jual satay. Saya pernah buat tempahan. Sedap juga. Kalau mengenangkan kembali murid perempuan tersebut masa dia tahun satu... bukan kemain comot lagi. Baju sekolah sendiri pun diguntingnya. Di situlah kita dapat melihat panjang mana akalnya. Bila dah darjah tiga ni dah okeylah sikit walaupun kadangkala baju sekolah pun tak bergosok.

Selalunya anak-anak beginilah yang banyak bersusah payah untuk ayah dan ibu bila dewasa nanti. Cikgu harap Ik** menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran bila besar nanti dan tidak memendam rasa pada ayah Ik**.