TINGKATKAN JUALAN ANDA!

Tuesday, April 13, 2010

Bila Airmata Bergenang Di Wajah Murid Itu

Masuk ke kelas tahun 3 untuk mengajar subjek pendidikan seni visual. Masuk-masuk jer ternampak airmata yang sedang bergenang pada wajah salah seorang anak murid saya. Belum sempat bertanya dia mengadu yang begnya dibuang ke dalam tong sampah dan dia mula menuduh budak itu dan budak ini melakukannya. Cuba menenangkan keadaan. Meminta semua murid-murid berdiri  untuk mengucapkan salam kepada saya terlebih dahulu. Memastikan semua murid berdiri dengan tertib sebelum mengucapkan salam adalah satu langkah yang boleh digunakan untuk mengawal disiplin kelas sebelum proses pengajaran dan pembelajaran bermula.

(gambar google) 

Meminta murid-murid lain duduk kecuali tiga orang murid. Yang bergenang airmata dan dua orang yang dituduh. Saya meminta murid yang menjadi mangsa menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku. Dia mengatakan bahawa begnya telah dijumpai dalam tong sampah. Murid yang dikatakan pesalah pula pernah menyebut untuk meletakkan begnya dalam tong sampah. Saya bertanya adakah dia nampak perbuatan murid yang dituduhnya itu tetapi dia menggeleng-gelengkan kepala.

Memberi peluang murid yang dituduh untuk membela diri. Mereka berkata memang mereka pernah menyebut untuk meletakkan beg mangsa ke dalam tong sampah tapi mereka tidak melakukannya. Saya bertanya kepada kelas jika sesiapa mengetahui siapa yang punya angkara, tetapi tiada jawapan yang diperolehi. Menasihati murid-murid untuk tidak menyimpan rasa jika tahu kerana akibatnya mereka juga akan dianggap terlibat. Memang benar tiada siapa yang tahu...

Kepada yang dituduh saya menasihat supaya jaga tutur kata. Kadangkala orang lain akan mengambil kesempatan di atas sikap kita yang lepas cakap. Akibatnya kamu yang akan menjadi suspek utama. Pada mangsa pula saya nasihatkannya jangan jadi murid yang suka menimbulkan kebencian orang lain. Mangsa ini di antara murid yang boleh tahan perangainya. Mangsa adalah anak mangsa penceraian. Anak yang kekurangan kasih sayang. Apalagi apabila hubungan persaudaraan antara dia dengan abang dan kakaknya di pisahkan. Dia dijaga oleh ibunya manakala abang dan kakak dijaga oleh ayahnya. Alasannya.. ibu tiri tidak dapat menjaga dirinya yang agak nakal itu. 

Saya menasihati murid-murid lain supaya tidak menganggunya. Memang dia suka usik orang lain tetapi kamu tidak patut membalasnya dengan begitu juga. Kesianlah pada dia. Ayahnya jauh... maknya sibuk bekerja untuk memenuhi tuntutan keluarga. Sebagai kawan.. hendaklah kita mengajaknya melakukan kebaikan bukannya menimbulkan kemarahan. Memang hati murid mangsa itu boleh dicuri. Dia memang memerlukan perhatian. Buktinya.. bila waktu pendidikan seni visual.. dia dapat menghasilkan lukisan-lukisan yang menarik jika saya bersamanya melaksanakan aktiviti. Semoga dia menjadi murid yang berjaya suatu hari nanti.