Entri dikongsi supaya menjadi ikhtibar bersama. Amarah.. kalau tak terkawal membawa parah! Berhati-hatilah cikgu dalam memberi hukuman kepada murid. Gunakan pelbagai cara yang munasabah supaya murid dapat dibimbing dan diri dapat dilindungi. Sayangi kerjaya.. sayangi masa depan. Tatatertib yang tercalit walaupun sekadar amaran meninggalkan kesan yang besar dalam sejarah perkhidmatan.
Dua keluarga dari Taman Sentosa, kesal dengan sikap seorang guru memukul anak mereka menggunakan kasut atas dakwaan berkelakuan nakal. Bapa murid tahun tiga itu, N Sarawanan, 34, berkata, kejadian itu sangat dikesali kerana guru berkenaan menggunakan objek lain, selain rotan memukul murid. Kejadian itu juga tidak sewajarnya berlaku kerana guru berkenaan boleh menggunakan medium lain seperti rotan untuk tujuan mengawal murid.
sekadar gambar hiasan: google
“Saya hanya diberitahu ketika datang ke sekolah berkenaan untuk menjemput anak dari sekolah pada petang hari kejadian. Ketika bertemu guru itu, saya dimaklumkan bahawa dia memukul murid itu dengan kasut kerana terlupa membawa rotan dan rotan sedia ada juga telah rosak. Seorang guru lain telah menasihatkan saya supaya datang keesokan harinya (semalam) dan berjumpa dengan guru besar bagi menyelesaikan perkara berkenaan”.
Dalam kejadian itu, dua murid sekolah rendah, S Devindraj dan P Manojkumar masing-masing berusia sembilan tahun, mendakwa telah dipukul guru mereka dengan kasut. Terdahulu, ibu kepada Manojkumar, A Mariayamal, 36, berkata, dia tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan. Katanya, guru itu mungkin boleh bertindak lebih kasar pada hadapan jika ada murid yang berkelakuan nakal. “Saya berharap PPD Kampar mengambil tindakan sewajarnya terhadap guru berkenaan sebagai pengajaran agar perkara itu tidak berulang lagi pada masa hadapan”.
Sementara itu, bapa Manojkumar, A Panirselvam, 36, berkata, masalah itu dianggap selesai setelah guru berkenaan memohon maaf atas kejadian tersebut pada pertemuan di sekolah itu, pagi semalam. Bagaimanapun, pihak PPD diharap dapat melaksanakan sesuatu bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku kepada murid lain pula kelak. “Kami anggap perkara ini telah selesai, tetapi kami mahu supaya pihak pengurusan PPD tetap mengambil tindakan sewajarnya dalam perkara ini”.
pinjam sumber dari sini: http://sgkasai.blogspot.com