Atikah menyapu peluh di dahi dengan belakang tangannya. Dengan langkah longlai dia menghampiri pintu pagar rumah sambil tercungap-cungap. Sudah menjadi rutin pada hujung minggu dia akan keluar berjoging. Selalunya dia ditemani oleh rakan serumah, tetapi hari ini dia melakukan aktiviti itu berseorangan berikutan rakannya itu pulang ke kampung. Peti surat diperiksa sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah. Dia menghela nafas sambil melabuhkan punggung di atas sofa ruangtamu. Satu persatu kepingan surat yang berada di tangannya diteliti. Matanya tertumpu pada sampul surat berbunga dengan setem tertera tulisan London. Dengan jelas tertulis namanya sebagai penerima. Dengan penuh rasa teruja dia membuka sampul surat berkenaan.
----------------------------------------------------------------------
Assalamualaikum...
Tatkala dikau membaca isi kandungan warkah ini, diriku sudah bergelar seorang suami. Tidak perlu lagi aku meneruskan coretan. Hanya sekeping foto pengganti diri sebagai bukti. Hanya kemaafan kupohon darimu. Kuharap kau mengerti.
Yang benar,
Shahrizal
----------------------------------------------------------------------
Matanya kian berkaca saat merenung gambar persandingan seorang lelaki yang selama ini bertakhta di hatinya bersama wanita lain. Dia bingkas menuju ke arah bilik. Berdentum pintu bilik saat dia menutupnya. Dia duduk sambil memeluk tubuh di penjuru sudut bilik kecil itu. Mata dipejamkan sambil dia merapatkan dahi ke lutut. Tidak tertahan lagi perasaannya. Berlinangan airmata seperti tidak mahu berhenti. Bercucuran. Ternyata sekeping nota ringkas yang baru dibaca itu benar-benar telah melukakan sekeping hati yang ampuh. Sekeping gambar yang tadinya berkeadaan sempurna kini bertaburan di atas lantai. Bersepah dicarik-carik oleh Atikah dengan segumpal perasaan amarah. Dia keliru dengan perasaannya sendiri. Bercampur-baur sentimen yang dirasai olehnya. Adakah dia hanya perlu akur dengan kekecewaan ini dan menutup segenap ruang hatinya dari perasaan cinta atau mungkinkah suara gemersik sang kekasih bisa bergema kembali.
Atikah tersedar dari tidurnya. Menangis hiba sehingga terlena. Dia terjaga dengan harapan apa yang terjadi hanyalah sebuah mimpi dalam mimpi. Namun realiti tetap realiti yang tidak dapat disangkal. Dia mengutip kembali cebisan sisa wajah yang hancur selebur hatinya. Di mana tempatnya sekeping hati yang luka? Atikah melangkah longlai menuju ke kamar mandi. Dia ingin membersihkan dirinya. Dia ingin membersihkan hatinya. Dia ingin membersihkan segala-galanya agar semuanya hilang seperti air yang mengalir mencari sebuah pengakhiran walaupun tidak bertepi. Seperti air yang berada di lautan luas... berombak... ditiup angin... di landa badai... di hempas pantai... segala-galanya.
Atikah mengaminkan doanya. Dalam jiwa yang cedera, hatinya tenang mengadap Pencipta. Memang selama ini Atikah hanyut dalam asyik masyuknya cinta. Sehingga terbabas tidak dapat menahan nafsu gelora asrama. Nikmat seketika yang Atikah kejarkan sehingga mengabaikan seksaan yang lebih berat menanti. Pada siapa Atikah harus meletakkan sebuah kesalahan sewaktu hilangnya makhkota kegadisan yang harus dipertahankan? Dia sendiri yang rela demi membuktikan cintanya yang tidak berbelah bagi pada Syahrizal. Sangkanya... Syahrizal akan lebih menghargai ketelusan cintanya dengan bukti itu. Sangkanya.. itulah hadiah yang paling bernilai untuk Syahrizal kenangi sebelum bertolak ke Kota London. Rupa-rupanya ianya menjadi sindiran sinis dengan senyuman kepuasan yang menempelak kebodohan dirinya. Lelaki... sejahat manapun dia takkan mahu memiliki ikan yang sudah busuk walau dia yang menjadi lalat!
Bukan hanya mimpi yang bertabur. Segalanya lenyap bagai ditelan lumpur. Tanpa paksaan, airmata Atikah mengalir lagi. Yang pasti, ianya bukan airmata kekecewaan terhadap rekahnya sebuah impian nipis yang tidak kesampaian tetapi titisan mutiara penyesalan terhadap sebuah kealpaan dalam menjadi seorang insan muslimah dalam etika yang sebenar. Atikah ingin bertaubat. Dia benar-benar menyesali atas setiap apa yang pernah dia lakukan. Sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang kerana menyedarkan Atikah dari lena yang panjang. Membantunya keluar dari hutan penyesatan yang menyesakkan. Atikah memanjatkan doanya, "Semoga masih ada ruang untukku di sisiMU. Ampuni dosaku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun... dosa-dosa besar Ya Allah".
Atikah bangkit dengan semangat yang baru. Ingin menjadi seorang bayi yang baru lahir. Tidak kira dengan cara apa sekalipun, normal atau caesaran, yang pasti ianya suci bersih tanpa dosa dan noda. Dia tekad keluar dari lembah yang dipenuhi jerigi-jerigi tajam menikam dan melupakan segala-galanya. Dia bukannya seorang wanita yang akan hilang arah hidup hanya atas nama cinta. Mewujudkan sebuah naskah baru dalam lembaran kehidupannya adalah perlu. Untuk apa menangis hiba atas sebuah kenangan yang di sangka manis tapi bak hempedu yang bernanah dan berkudis? Pahit dan busuk tetapi tetap mahu ditelan? Berkuping-kuping meninggalkan parut yang merunsingkan? Dia harus mengembalikan dirinya kepada yang Hak. Pasti perjalanannya tidak sunyi walaupun harus ditempuhi sendiri. Dia bertekad mendekatkan dirinya pada Yang Maha Esa. Rona di danau hati... pasti adanya sinar pelangi yang menanti.

~ Adakala hidup perlu pantas berlari... walau berkali tersadung kaki rebah ke bumi ~