Pejam celik.. pejam celik... cuti dah nak habis. Waaaa... habis cutiku... cepat benar masa berlalu. Tahun 2010 pula telah menghabiskan separuh daripada usianya. Begitu cepat perjalanan dunia. Hanya diri yang masih ditakuk lama. Sedar amalan diri masih kurang tapi masih belum mampu mengejar untuk memenuhi kekurangan. Cikgu cuti tapi masih melakukan rutin biasa. Memeriksa kertas soalan... menganalisa... mencatat... dan merekod markah. Tiada istilah cuti dalam makna sebenar-benarnya.
Tergerak hati untuk berkongsi kisah ragam murid-murid selepas menerima keputusan peperiksaan. Rutinnya... seorang guru akan meminta murid menyemak semula kertas yang ditanda dan mengira semula markah yang telah diberikan oleh cikgu sebelum direkodkan secara rasmi. Maklumlah... cikgu juga insan biasa. Seorang cikgu nak menanda beratus-ratus helai kertas. Mungkin berlaku kesilapan dalam penandaan dan pengiraan.
gambar hiasan
(sumber: google)
Mengikut prosedur... selepas proses semakan dilakukan dalam kelas dalam waktu yang ditetapkan... sebarang pembetulan atau bantahan tidak akan lagi dilayan. Ajarlah anak-anak kita untuk menyemak kertas mereka sebaik mungkin. Ada murid yang menyemak kertas soalan mereka sambil lewa kerana berharap ibubapa mereka akan menyemak semula ketika berada di rumah. Tegurlah anak-anak yang bersikap sebegini... dan janganlah pula datang menyerang pihak sekolah atas perkara yang sebenarnya dapat diselesaikan dengan mudah. Ajarlah anak-anak untuk mematuhi undang-undang.
Kalau ikutkan... setiap kali peperiksaan... ada sahaja ibubapa yang akan bersemuka dengan pihak sekolah selepas menerima kertas jawapan daripada anak-anak mereka. Yang menghairankan pula... asyik-asyik ibubapa yang sama. Ada ke double standard seseorang guru itu dalam melayan anaknya tiap kali peperiksaan? Masalah menjadi lebih besar sekiranya anak itu hanya memerlukan 1 atau 2 markah lagi untuk bertukar ke gred yang lebih baik. Bagaimana cikgu nak mempercayai kesahihan jawapan yang diberi selepas kertas jawapan dipulangkan? Apa-apa perkara boleh dilakukan...
Pihak atasan sekolah juga perlu tegas dalam melayan perkara-perkara sebegini. Daripada kakak, abang, adik.. begitulah perangai ibubapanya. Takkan masih tak nampak siapa yang mengalami masalah sebenarnya. Guru atau ibubapa itu sendiri? Kalau guru... bukannya guru yang sama tiap-tiap tahun .Jadi... tak perlu layan ibubapa sebegini dan tegaskan bahawa undang-undang perlu diikut. Pihak sekolah sudah beri peluang... maka gunakan sebaik mungkin.
Sikap-sikap yang sebeginilah yang akan membuatkan anak-anak menjadi lemak.... akhirnya... makan diri anak itu sendiri kerana ramai cikgu yang mula berkecil hati. Agaknya... photostat sahaja kertas peperiksaan anak itu sebelum dipulangkan. Jika jadi hal.. boleh buat perbandingan. Lepas itu... kita lihat siapa yang nak kena dakwa pula? Takkan nak penyelesaian yang begitu?