TINGKATKAN JUALAN ANDA!

Sunday, June 20, 2010

Berbulu biji mata aku - Harap kini sudah hilang bulunya

Itu ayat yang abah sering tuturkan bila melihat perangai saya yang kurang menyenangkan. Sebagai anak yang agak nakal suatu ketika dulu... ayat abah dijawab (dalam hati)... berbulu?... macamana biji mata berbulu? kalau bulu mata tahulah... ekekeke... jangan marah yer abah... bukan lurus bendul... tapi saja buat loyar buruk.

Abah memang garang... apa lagi abah seorang anggota polis. Memang tegas. Katanya... nak menjaga anak perempuan seorang ni (sayalah tu.. sebab adik perempuan saya baik) tak sepayah menjaga 40 orang anak buahnya. Abah berpangkat Sarjan Mejar dan tugasnya ialah merekrut bakal-bakal pengawai polis. Kini abah sudah pencen dan pencennya dianugerah gelaran Datuk... bukan pangkat tuuu... tapi menimang cucunya yang sulung.

Dengar cerita abah ingin anak lelaki masa mak mengandungkan saya. Agaknya.. sebab itu saya agak lasak. Masa kecil saya memang rapat dengan abah tapi bila menginjak dewasa jiwa saya mula memberontak. Saya dan abah sering bertelingkah pendapat tapi saya selalu melawan dalam diam. Hormatnya kami pada abah pada masa tu sampai takkan makan tengahari selagi abah tak balik kerumah. Abah memang selalu balik makan kat rumah. Pinggan dan gelasnya jangan diusik. Kalau mengikut cerita ustaz... itu juga cara supaya orang tua lebih dihormati. Orang sekarang jer yang buat tak kisah... kononnya apa nak berkira dengan anak. Itu pasal anak sekarang selalu naik lemak agaknya.

Setakat kena rotan dengan abah dah perkara biasa bagi saya. Agaknya... bila selalu kena rotan... saya boleh berdiri tegak... kaku... tanpa perasaaan. Mahu tak sakit... tapi keras hati punya pasal. Agaknya itu sebab orang tua-tua kata jangan selalu rotan anak... nanti takda kesan pada diri anak. Dah lali dah. Nasib baik saya seorang anak yang boleh berfikir dengan waras (puji diri sendiri)... kenapa abah berbuat demikian. Tiada dendam di situ. Saya sedar... abah cuma mendidik. Kalau tak kerana ketegasan abah... mungkin saya pun tak berada pada tahap ini sekarang.

Tadi saya bertemu dengan abah untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa. Kelihatan abah terbaring lesu atas sofa. Mungkin letih menguruskan kenduri perkahwinan adik tidak hilang lagi. Abah dah menampakkan usia tuanya. Dia tak lagi segagah dulu. Yang saya harapkan... abah dapat mengerjakan haji sebelum meniti hari-hari terakhir hidupnya. Jenuh pujuk abah daftar diri... katanya amal amalan tidak cukup lagi. Akhirnya... kami adik beradik yang sepakat mendaftar nama abah. Lambat lagi tarikh giliran abah. Harapnya ianya dapat dipermudahkan dan disegerakan.

Saya sayangkan abah. Maafkan sikap saya yang tidak menyenangkan hidup abah. Jasa abah tidak mampu saya balas dengan wang ringgit. Pengorbanan saya tidak menandingi pengorbanan abah dalam membesarkan saya. Semoga hari-hari tua abah dilalui dengan kesejahteraan dan ketenangan. Semoga abah juga ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin~

ketabahan mereka dalam mendidik kami adik beradik... memang tiada tandingannya... maafkan saya atas setiap airmata yang mengalir selama membesarkan saya. Saya sayangkan abah dan mak.