Malang tak berbau. Sememangnya kita memang tidak dapat meramalkan kejadian buruk yang berlaku. Ada juga malang yang berlaku di kawasan yang berhampiran dengan kita. Tempat yang kita rasakan selamat.. rupa2nya mengundang banyak bahaya.
Rumah dikatakan tempat paling selamat
berlindung tetapi tanpa disedari kemalangan di rumah sering menyebabkan kecederaan kepada anak-anak yang kita sayangi.
Ramai tidak prihatin soal keselamatan di
rumah terutama bagi anak kecil berusia 2 - 4 tahun. Tidak prihatin disini boleh dirujuk kepada sikap lalai atau lepa. Perlu disedari, kemalangan di rumah
juga boleh mengancam nyawa anak dan membawa kecacatan yang terpaksa ditanggung seumur
hidup.
Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan
Malaysia, 25 peratus kemalangan di rumah membabitkan kemalangan kecil seperti luka,
terseliuh dan bengkak; 10 peratus mengalami kemalangan perlu dirawat seperti patah, luka
besar yang perlu jahitan, disengat serangga berbisa dan melecur. Sejumlah lima peratus
mengalami kemalangan teruk yang memerlukan mereka dimasukkan ke hospital seperti terbakar,
jatuh yang mencederakan kepala dan satu peratus lagi cacat seumur hidup.
Mengikut kajian, kanak-kanak berusia 2 - 4 tahun lebih mudah mendapat kemalangan
di rumah. Pada usia inilah kanak2 mula bergerak
cergas tetapi tidak dapat membezakan antara bahaya dan selamat. Pada usia ini juga mereka mudah tertarik untuk mengetahui tentang sesuatu yang menarik perhatian mereka.
Berikut merupakan tempat-tempat yang sering mengundang padah kepada kanak-kanak.
Ruangtamu,anjung dan tangga
Kemalangan bagi kanak-kanak banyak terjadi
di sini. Ia membabitkan jatuh biasa atau serius. Rumah bertangga dan bahagian split-level
patut dibuat sekatan atau palang supaya kanak-kanak, terutama yang berusia empat tahun
ke bawah, tidak dapat turun dan naik sendiri. Jangan sekali-kali
membiarkan anak kecil sendirian di tingkat atas rumah, di atas anjung atau tempat-tempat
tinggi. Jatuh dari tempat tinggi boleh menyebabkan kecederaan serius seperti patah dan
pendarahan otak. Pastikan juga barang-barang permainan atau sebarang barang lain tidak bersepah di tangga kerana dikhuatiri akan terpijak oleh anak-anak dan menyebabkan mereka terjatuh.
Pastikan perabot di ruang tamu tidak
mengundang kemalangan kerana kanak-kanak suka memanjat dan mereka tidak tahu bahaya yang
menanti. Jangan letak perabot dekat tingkap atau beranda yang boleh dipanjat anak.
Bilik mandi
Lemas dan jatuh antara kemalangan kerap
terjadi di rumah. Banyak berita yang kita baca dan dengar tentang kehilangan satu nyawa yang membabitkan bilik mandi. Bilik mandi tempat berbahaya, jangan dibiarkan kanak-kanak bawah usia enam
tahun bermain atau mandi sendirian kerana mereka boleh lemas atau jatuh kerana licin.
Kejadian lemas di bilik mandi selaIunya terjadi kepala anak-anak berusia 1~2 tahun.
Pastikan semua tempat simpanan air ditutup selepas digunakan kerana kanak-kanak boleh
jatuh ke dalamnya dan lemas. Mereka boleh lemas di dalam air yang sedikit di dalam baldi,
walaupun ia hanya sedalam 15 - 30 cm.
Bayi kecil yang dimandikan tidak boleh
ditinggalkan sendirian, walaupun sekejap. Mereka mungkin jatuh tertonggeng dan lemas. Bawa
bayi anda bersama jika anda terpaksa mengalih perhatian kepada sesuatu dalam keadaan
tergesa-gesa.
Jangan sekali-kali
mandikan anak kecil di dalam sinki kerana ini boleh menyebaban kepala mereka terhantuk
pada tepi sinki dan akan berlaku retak tempurung kepala atau pendarahan otak. Bayi patut
dimandikan di dalam besen di atas lantai.
Kanak-kanak harus dimandikan di atas lantai
supaya mereka tidak mudah jatuh. Jatuh yang teruk dari tempat tinggi boleh menyebabkan
patah teruk dan darahan. Pastikan jubin bilik mandi jenis tidak licin. Kejadian lemas di luar rumah (kolam, tasik
atau longkang) sering terjadi pada kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas.
Bilik tidur
Kanak-kanak tidak mengenal erti bahaya.
Katil yang selalunya enak dan empuk dibuat tidur boleh juga mendatangkan bahaya kepada
kanak-kanak. Antara bahaya itu, kanak-kanak mungkin jatuh dari katil, terhempas
barang-barang berat seperti seterika dan keracunan.
Alat elektrik yang tidak digunakan patut
disimpan di tempat selamat dan digulung wayarnya. Alat elektrik yang rosak atau terkoyak
wayarnya tidak patut digunakan kerana kanak-kanak mungkin terkena kejutan elektrik jika
memegangnya. Soket elektrik mesti ditutup dengan penutup
keselamatan dan pastikan suis ditutup untuk mengelak kanak-kanak daripada bermain
dengannya.
Ramai ibu bapa tidak
tahu yang barangan kosmetik pun boleh menyebabkan keracunan terutama pada anak kecil.
Tarikan kepada warna-warna dan bau alat solek akan menyebabkan mereka terdorong
memasukkannya ke dalam mulut dan ini boleh menyebabkan keracunan. Ibu bapa seharusnya
meletakkan alat solek mereka di tempat tinggi yang sukar dicapai oleh anak-anak.
Ubat-ubatan ibu bapa juga patut disimpan di tempat yang berkunci. Jangan makan ubat di
hadapan anak kerana mereka akan meniru perbuatan ini.
Pilihan katil kanak-kanak perlu dibuat
dengan bijak. Perlu dipastikan agar ia tidak dicat dengan cat bertoksid kerana kanak-kanak
kecil suka menggigit katil dan ini boleh menyebabkan keracunan. Jarak di antara
palang-palang katil anak juga mesti kurang daripada 6 cm supaya badan dan kepala anak
tidak boleh bolos di antara dua palang.
Dapur
Boleh dikatakan dapur tempat paling
berbahaya dibiarkan kanak-kanak berada di situ sesuka hati. Kanak-kanak sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke dapur sama sekali. sekiranya tiada kehadiran orang dewasa. Ramai ibu bapa tidak sedar dapur
boleh mendatangkan bahaya kepada anak mereka. Mereka boleh terjatuh, tersiram minyak atau
air panas, terkena api dapur dan keracunan bahan cucian.
Banyak perkara perlu
diambil perhatian menjamin keselamatan di dapur termasuk jangan alas meja jika ada anak
kecil. Mereka mungkin menarik alas meja dan menyebabkan barang-barang di atas meja
terjatuh ke atas mereka. Masakan panas perlu diletak jauh di tengah meja supaya tidak
tersimbah.
Pemegang periuk dan kuali juga perlu
diletakkan menghala ke bahagian dalam agar sukar bagi kanak-kanak mencapainya. Banyak kes
melecur berlaku kerana tersimbah makanan dan minyak panas dari periuk dan kuali.
Di dapur juga selalunya banyak bahan
pencuci disimpan. Pastikan anda menyimpannya di dalam almari bertutup dan berkunci atau di
tempat tinggi yang sukar dicapai kanak-kanak.
Elakkan mengguna botol minuman untuk
menyimpan cecair beracun seperti minyak tanah, turpentin dan racun serangga. Cecair
beracun perlu disimpan di dalam botol asal dan bukan di dalam botol minuman. Ini dapat
mengelakkan anak anda daripada terminum bahan beracun ini.
Laman rumah
Ini termasuk taman dan bahagian laman.
Kemalangan yang sering berlaku ialah sengatan dan gigitan serangga berbisa seperti lebah,
kala jengking, tebuan dan lipan. Perlu diingatkan, kanak-kanak mesti diawasi apabila
bermain di taman kerana mereka tidak dapat membezakan antara binatang berbisa dan tidak.
Kanak-kanak lebih kecil patut diawasi supaya tidak makan daun-daun beracun di laman rumah.
Kanak-kanak berusia lebih dua tahun juga perlu penjagaan rapi apabila mereka keluar rumah
kerana mereka mungkin akan berlari keluar ke tepi jalan tanpa melihat kenderaan yang lalu
lalang. Ini boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.
Ibu bapa yang mengundur kereta perlu
memastikan anak-anak mereka tidak berada di belakang kereta. Banyak kemalangan serius
membawa maut membabitkan ibu bapa sendiri melanggar anak mereka tanpa disedari.
Panduan
- Jangan biarkan anak anda mandi sendirian di dalam bilik mandi.
- Peralatan rumah yang tajam dan berbahaya mesti dijauhkan daripada kanak-kanak.
- Perabot berbucu tajam tidak sesuai rumah yang ada anak kecil kerana mereka mungkin tercedera jika terlanggar atau terjatuh.
- Barangan kosmetik, bahan cucian dan peralatan rumah mesti diletakkan sekurang-kurangnya 1.75 meter dari aras lantai.
- Pastikan segala ubat disimpan di tempat berasingan daripada tempat menyimpan makanan. Bekas berkunci penting kerana menyukarkan kanak-kanak membukanya
- Elakkan mengguna pintu atau tingkap kaca kerana kanak-kanak mungkin menerpa dan tercedera.
- Jika tinggal di rumah pangsa atau pangsapuri, pastikan ruang di antara palang tepi tangga tidak lebar sehingga boleh memboloskan kepala atau dada kanak-kanak. Jarak setiap palang mesti kurang daripada enam senti meter .
- Elakkan mengguna buai untuk menidurkan anak berusia lapan bulan lebih kerana mereka mungkin terjatuh.
- American Academy of Paediatric memaklumkan bahawa walker tidak selamat untuk kanak-kanak dan ia terbukti tidak membantu kanak-kanak berjalan dengan lebih cepat.
- Pastikan rumah anda dipasang alat pengesan asap (smoke alarm).
- Dapur perlu dilengkapkan dengan alat pemadam api (fire extinguisher) untuk memadam kebakaran kecil dapur jika berlaku.
- Pastikan ada jalan keluar dari rumah selain pintu utama Elakkan memasang gril yang sukar dibuka.