#lelakiitu1
Rasa nak luruh jantung Ika bila tetiba kereta Exora miliknya dihalang oleh seseorang. "Nak mampus agaknya ini orang!", hati Ika mengerutu. Masakan tidak.. sebaik sahaja keluar dari pagar sekolah tetiba muncul makhluk entah dari mana melompat menyekat laluannya. Agak-agaklah pun kalau nak mati awal. Jalan raya besar kan ada. Alang-alang nak mati biarlah dilanggar dek lori ke.. digelek treler ke. Ini tidak.. depan kereta Ika juga makhluk tu pilih. Sudahlah depan pagar sekolah pula tu. Waktu puncak. Ramai murid dan ibu bapa yang jadi saksi. Tidak pasal-pasal jadi berita utama surat khabar esoknya.
"Xxx mati dilanggar guru.."
"Guru berebut pulang awal sehingga menyebabkan kematian.."
"Kelam kabut guru membawa maut.."
Macam-macam lagilah ayat kalau boleh dijadikan tajuk sensasi. Akhbar sekarang memang banyak membelakangi etika. Yang penting tajuk mahu gempak. Cerita betul atau tidak belakang punya hal. Apatah lagi bahan utamanya ialah cikgu. Tunggu masa sahaja hendak jadi bahan. Yang tidak tahu hujung pangkal tumpang semangkuk tanpa minta izin. Yang tukang maki berbakul-bakul jadi batu api. Bertabahlah Ika menjadi cikgu akhir zaman. Memang sudah tertulis yang para guru akhir zaman semakin tidak dihormati.
Jantung yang tadi rasa nak luruh tetiba berhenti berdegup. Saat ini Ika dapat rasakan tiada lagi darah yang mengalir dalam tubuhnya. Darah O milik manusia pemurah yang rajin derma darah seperti Ika seakan-akan kering disedut "drakula". Kulit Ika yang sawo matang dah macam putih mayat. Sekujur tubuh kaku, keras dan kejang. Tetiba sahaja makhluk melompat tadi ada di sebelah Ika. Entah bila-bila dibukanya pintu kereta dan duduk dengan penuh gaya. Siap sila panggung macam bos lagi.
"Assalamualaikum", makhluk itu menyapa untuk kali ke berapanya pun Ika tidak sedar.
"Ayanggg..",
Panggilan itu kedengaran sangat lembut dan lunak tetapi terasa bagai petir yang berdentum menyambar di gegendang telinga Ika. Panggilan itu sudah lama terkubur tanpa nisan tetapi suara itu membuat jantung Ika yang berhenti berdegup tadi kembali berdenyut. Namun denyutannya kali ini lebih menyesakkan. Ika lebih rela andainya jantung ini terus tidak berfungsi. Sakitnya bila nadi bertugas melebihi kemampuannya. Lari pecut 100 meter pun Ika masih mampu bernafas walaupun termengah-mengah. Panggilan daripada makhluk ini menyebabkan Ika rasa seperti masuk dalam balang yang berisi klorofom. Seksa mencari nyawa.
Kalau tidak kerana di depan pagar sekolah dan dikerumuni oleh mereka yang mengenali Ika sebagai guru di sekolah tersebut, dah lama Ika hambat makhluk ini turun. Bila mata Ika menyaksikan ada wajah yang terpinga-terpinga, ada wajah yang melopong dan ada juga wajah yang tersengih mengalahkan kerang busuk, hendak tidak hendak Ika meneruskan perjalanan yang tadinya terbantut. Tidak pasal-pasal Ika terpaksa buat-buat senyum spesis senyum kambing bagi menenangkan keadaan. Makhluk sebelah Ika ni memang dari dulu suka buat huru-hara. Dari zaman Ika anak dara, mak dara hinggalah sekarang dah nak masuk jadi opah dara.