Isu Nur Amalina Che Bakri tetiba hangat diperkatakan ekoran tersebarnya gambar Amalina yang bertentangan dengan diri asal Amalina yang pernah Malaysia kenali. Saya sendiri terkejut melihat gambar yang dipaparkan dan berharap sekali yang gambar tersebut bukanlah gambar Nur Amalina yang pernah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia satu ketika dulu bila dia berjaya memperolehi 17A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.
Isu ini membuatkan saya terpanggil untuk menulis berdasarkan pengalaman yang pernah saya lalui. Sebelum ini pun telah banyak kes kontroversi yang dicetuskan oleh beberapa orang pelajar yang cemerlang. Tentunya sedikit sebanyak terdetik di hati kita.. kenapa pelajar cemerlang jadi begitu? Adakah mereka hanya pandai dalam pelajaran tetapi gagal untuk menguruskan diri bila berdepan dengan masyarakat? Jangan suruh tepuk dada tanya selera..
Saya sendiri pernah berdepan dengan perkara sebegini. Melihat perubahan rakan-rakan yang pada mulanya seorang pelajar yang menjadi kebanggaan kerana kepintaran dan budi pekerti yang tinggi menjadi seorang yang tidak pernah saya fikir sama sekali. Pemikiran.. penampilan... sama sekali berbeza. Pemikiran tidak lagi seperti budak pintar yang tahu baik buruknya setiap tindakan dan penampilan seperti melampiaskan keinginan yang tidak pernah tertunai...
Tidak ingin bercerita di mana silapnya. Apa yang boleh saya kongsikan ialah mereka ini adalah seorang anak yang tidak pernah membangkang setiap kata ibu bapa mereka. Kalau ada istilah 'Anak Turut'... merekalah orangnya. Kalau suruh belajar, belajarlah.. kalau suruh cemerlang.. cemerlanglah.. kalau suruh bersopan.. bersopanlah. Tiada sekali 'ihhh' atau 'uhhh'.
Melihat mereka berubah membuatkan saya terfikir..
Adakah mereka memberontak? Adakah mereka pula ingin menyempurnakan keinginan mereka setelah mereka berjaya menunaikan hasrat ibu bapa mereka? Adakah mereka gagal membentuk diri sendiri kerana selama ini hanya mengikut telunjuk orang tua? Adakah mereka terkena kejutan budaya dan gagal menanganinya kerana tidak pernah berdepan dengan gaya hidup yang sebegini?
Malangnya.. setiap soalan tidak pernah saya ajukan kepada mereka.
Bukan kerana malas nak sibuk tetapi mereka ini akan segera menjauhi rakan-rakan yang cuba menasihati mereka seolah-olah mereka tahu apa yang dilakukan oleh mereka itu salah tetapi mereka tetap mahu memilih mengikut nafsu. Semakin dihampiri.. semakin menjauh..
Sebagai guru saya tentunya tidak mahu perkara sebegini terjadi kepada anak didik saya. Perkara sebegini saya perlu kaji dengan lebih mendalam. Sekurangnya-kurangnya dengan perbincangan sesama kita dapat saya jadikan panduan dalam melahirkan generasi yang bukan saja cemerlang dalam pendidikan tetapi tahu mengaplikasikan setiap ilmu yang diperolehi bila berdepan dengan cabaran hidup bermasyarakat.
Peribahasa "masuk kandang kambing mengembek.. masuk kandang rimau mengaum.." bukan lagi peribahasa yang relevan untuk zaman akan datang.