Ibu susuan. Suatu isu yang saya rasakan semakin lama semakin tersisih. Minda yang makin lama semakin tertutup. Tiada penerangan lanjut. Tiada promosi. Tiada galakan. Tiada keinginan.
Masyarakat seolah-olah tidak yakin dengan konsep ibu susuan. Yang timbul hanyalah kegusaran yang remeh. Risaukan ikatan perkahwinan yang tidak kesampaian akibat konsep ibu susuan. Perkahwinan yang tidak sengaja... antara adik beradik susuan.
Kenapa konsep ibu susuan ini wujud? Hanya Allah yang mengetahui segala-galanya malah Rasullah SAW sendiri mempunyai ibu susuan. Sejarah menceritakan dan pastinya terkandung sesuatu yang perlu kita jadikan sebagai panduan dan ikhtibar.
Kalau sana sini orang mempertikaikan halal dan haramnya susu tepung... kenapa tidak konsep ibu susuan dipromosikan? Pastinya ianya lebih mendatangkan kebaikan kepada bakal generasi daripada bergantung kepada susu tepung yang berada di pasaran.
Menyusukan anak sendiri merupakan sebaik-baik perkara tapi cabarannya tidaklah semudah yang disangka. Rezeki yang didatangkan tidak sama jadi apa salahnya berkongsi rezeki yang berlebihan untuk kebaikan bersama?
Bukan sekadar terasa sayang tapi turut terkilan bila melihat susu ibu yang berlebihan dibuang begitu sahaja oleh mereka yang mempunyai susu badan yang banyak.
Kenapa susah untuk menawarkan susu tersebut kepada mereka yang memerlukan?