Monday, May 27, 2013

Tutup sebelah mata atau pandang sebelah mata?

Mungkin ada hikmahnya saya ditempatkan di kejiranan ini. Kebenaran yang pahit untuk di telan. Rata-rata.. anak-anak di sini tidak dapat dikategorikan sebagai anak-anak yang baik. Atau mungkin daripada pandangan mata kasar saya sahaja. Namun.. apa yang dilihat.. itulah yang menjadi tafsiran.


Kalau ikutkan sakit hati.. memang sakit hati melihat tingkahlaku anak-anak ini. Bermula dari lingkungan umur 9 tahun hinggalah yang bersekolah menengah.. tak lari daripada melakukan kesalahan kecil atau besar. Setakat barang itu ini hilang.. tidak usah cerita. Depan-depan mata pun.. mereka berani melakukan kesalahan. Bab polis datang tangkap pun.. hanya sebuah cerita biasa. 

Sejak akhir-akhir tergerak hati saya untuk mengkaji kenapa wujudnya masalah sebegini di kejiranan ini. Satu jawapan yang saya temui.. anak-anak ini adalah anak yang kurang tumpuan daripada ibu bapa mereka. Ada yang ibu bapanya bekerja. Ada yang daripada keluarga yang bercerai berai. Ada yang datang daripada keluarga yang selalu berantakan. Ada juga yang datang daripada keluarga yang sememangnya tidak mahu ambil tahu apa yang anak mereka lakukan kerana dah berbuih mulut menegur tapi anak masuk telinga kiri.. keluar telinga kanan.

Kalau dulu saya sakit hati kerana barang-barang saya sering hilang. Kalau dulu saya sakit hati kerana anak saya sering menjadi mangsa ugut mereka. Kalau dulu saya sakit hati kerana saya khuatir perangai mereka akan mempengaruhi anak-anak saya. Tapi.. bila saya cuba untuk lihat dari mata hati.. saya memang bersimpati. Nak ditegur takut disalah erti.. nak di biar menjadi wabak nanti. Cuma.. yang satu saya tak faham.. di mana hati ibu bapa mereka? Yang saya lihat.. dalam diri ibu bapa mereka penuh dengan keegoan.. pentingkan diri sendiri.. tanpa memikirkan masa depan anak-anak.

Perlukah saya berdiam? 

Atau saya perlu lakukan sesuatu? 

Tutup sebelah mata atau pandang sebelah mata?