Tuesday, February 26, 2013

Tak sakit konon tapi rupanya bagai nyawa di hujung tanduk

Empat orang anak. Empat cerita yang berbeza. Saya merasai kedua-dua cara. Bersalin normal dan pembedahan. Kalau diberi pilihan.. saya memilih bersalin normal. Sesuai dengan nama saya. Kepada bakal ibu yang berniat nak bersalin secara pembedahan tu (tanpa sebab kesihatan), elok sangat dibuang jauh-jauh. Pengukuran kesakitan bukan terletak pada bersalin normal atau pembedahan. Bersalin secara pembedahan memang kelihatan mudah. Tak perlu teran dan kadangkala tak merasai kontraksi. Cucuk ubat bius.. tadah perut. Tapi.. nak jaganya makan bertahun berbanding bersalin normal yang paling lama 2 minggu sahaja dah pulih.


Bila ditetapkan saya akan bersalin melalui kaedah pembedahan (dua pembedahan terdahulu), saya menarik nafas lega. Masakan tidak.. merasai kesakitan kontraksi adalah sesuatu yang tidak terungkap dengan kata-kata. Cukuplah yang lepas-lepas. Walaupun dibedah, saya dapat merasai pengalaman kontraksi kerana anak dah tak sabar-sabar nak keluar awal dari tarikh pembedahan sebenar. Tapi Allah juga penentu segala dan sakit melahirkan anak bongsu ini adalah sakit yang paling sakit.

Air ketuban dah turun hampir 24 jam

Kontraksi dengan kerap 2/3 minit sekali bermula lepas 12 tengah malam

dan saya menanggung kesakitan hingga ke pagi kerana tiada doktor yang berani mengambil risiko melakukan pembedahan. Saya perlu dibedah oleh doktor pakar dan doktor yang berkenaan bertugas awal pagi keesokan harinya!

Bukan salah sesiapa. Kalau saya dibedah juga malam tersebut, akan membahayakan saya dan anak dalam kandungan kerana sejarah dua pembedahan yang terdahulu (hanya doktor yang benar-benar pengalaman yang boleh melakukan). Bila pembedahan ditangguh.. air ketuban saya turun hampir 24 jam dan risikonya pada anak kerana takut terjadi jangkitan kuman (dan anak saya dijangkiti kuman pada matanya selepas lahir).

Alhamdulillah. Segala-galanya tinggal kenangan. Hari ini saya mahupun anak berada dalam keadaan selamat. Pengalaman ini takkan dilupakan hingga ke akhir hayat~